20051004

Istimewa buat Ibuku Sempena 1 Ramadhan....

Dia punya wajah murni,
Senyuman menusuk,
Buat hatiku girang,
Jiwanya gundah,
Wajah itu tidak pernah berubah,

Sesekali dia menangis,
Hatiku bakal hancur,
Jiwa ini lebur,
Kerana...
Dia ibuku

Dia punya jemari lembut,
Walau sudah berkedut,
Jemari itu punca rezeki,
Pada kami seluruh ahli rumah ini,
Kedutan itu buat aku terpana,
Kerana jemari itulah yang membelaiku,
Dari dahulu hingga kini,
Jemari itulah yang menyuapkan rezeki ke mulutku,
Meneruskan kelangsungan hidup,

Bila kusentuh jemari itu,
Jantungku berdegup pantas,
Hatiku hancur lagi,
Kerana...
Dia ibuku.

Ibuku punya tekad tinggi,
Mahu kami,
Anak-anak ini,
Bahagia duniawi,
Akhirat tidak rugi,

Alunan merdu suara ibu,
Tika membaca ayat Tuhan,
Bisa menggoncang perasaan,
Dia payung kami dengan Tauhid,
Dia dinding kami dengan akhlak,
Dia tapakkan kami dengan akidah,
Dia sediakan kami ilmu di sini,
Buat bekalan ke sana,

Ibuku adalah pasak kehidupan,
Akar tunjang yang menegakkan pohon merendang,
Biar kekal berdiri,
Walau badai menggulung,

Kata-katanya hikmah,
Setiap satunya punya amanah,
Dia cahaya tika hati gelisah,
Dia warnai mindaku untuk berubah,

Ibuku tidak pernah mengeluh,
Jasa tidak pinta dibalas,
Cinta ibu suci,
Buat suami yang telah lama pergi,
Serta kami anak-anak ini,

Dia bidadari yang sentiasa mengerti,
Dan aku,
Sentiasa cuba untuk tidak melukai,
Dan berjanji,
Akan sentiasa mentaati,
Wanita semulia ini,
Kerana...
Dia ibuku.

Ramadhan ini,
Aku hadiahkan doaku,
Beserta air mata ini,
Buatmu ibuku..
Sekiranya engkau menangis,
Mengertilah ibuku,
Selagi aku punya nyawa,
Tidak siapa berhak melukaimu.