KISAH ANAK DAN BAPANYA
(sempena ulangtahun ke 14 pemergian Allahyarham Sarif Ahmad)
Si bongsu ini bergurau manja,
Dengan bapanya,
Bersaksikan si ibu yang setia,
Serta saudara semua,
Anak ini tidak menduga,
Barangkali esok lusa,
Satu antara mereka tiada,
Hilai tawanya,
Bersambut gelak tawa si bapa,
Anak ini dan bapanya,
Kasihnya utuh di hati,
Sayangnya kukuh bersemadi,
Cintanya tak pernah rapuh,
Rindunya tak mungkin jauh,
Jiwanya bersatu diikat tali padu,
Kala esoknya menjelma,
Seorang pemuda mencongak langkah,
Membawa berita gundah,
Buat ibu dan seisi rumah,
Anak kecil ini bingung,
Lalu si sulong mengikut jejak pemuda,
Tidak tahu ke mana arah,
Anak ni mengetip bibir,
Ada apa semua?
Kemana si sulong?
Kenapa ibu tak keruan?
Kenapa kakak kegelisahan?
Seketika,
Si sulong pulang bersama pemuda,
Ramai!
Mengusung sekujur lembaga,
Yang keras kaku,
Namun matanya masih terbuka,
Anak ini tersentak,
Itulah bapaku!
Benar itu bapaku!
Kenapa dengan bapaku?
Kenapa ibu?
Ya Tuhan, bapaku masih sedar,
Walau tubuhnya kaku,
Ibu, bapa masih sihat!
Lalu,
Mahu dihantar ke mana bapaku?
Bapa perlu dirawat!
Mungkin esok,
Aku dan bapa bisa bergurau lagi,
Lantas,
Aku harus menunggu sampai esok?
Pasti esok bapa pulang,
Bapaku pasti pulang!
Kerana aku akan senantiasa menunggu,
Subuh itu,
Tidurku dikejut kakak,
Bapa pasti sudah pulang!
Bingkas bangun,
Anak ini berlari,
Menuju ruang besar,
Terhenti langkah,
Apa ditengah ruang itu?
Apa itu ibu?
Apa itu saudaraku?
Mana bapaku?
Tak mungkin!!!!
Ibu dimuka pintu,
Berwajah pilu,
Dipenjuru kami berpelukan,
Menangis bersama,
Kata ibu,
Anakku ,
Bapamu sudah tiada,
Kami menangis lagi,
Anakku,
Kamu sudah tidak punya bapa,
Empangan mata ini tak mungkin terbendung,
Anakku,
Ibu akan menjaga kalian berseorangan,
Kami tersandar di situ......
Hari itu,
Anak ini dan bapanya perlu berpisah,
Namun,
Anak ini dan bapanya,
Kasih utuh di hati,
Sayang kukuh bersemadi,
Cinta tak akan rapuh,
Rindu tak mungkin jauh,
Jiwa tetap bersatu,
Walau jasad menjadi debu.
Azlinasarif_paisey...tiga perkara yang paling penting dalam hidup aku..emak.. glasses aku...duit! aku tak bleh hidup tanpa salah satu darinya....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment